Selasa, 8 April 2008

CARI MASA UNTUK BERSENAM

Adakah anda cepat berasa letih? Jika ya! Ini bermakna anda perlu meneliti semula rutin harian anda. Anda perlu memperuntukkan masa untuk bersenam. Ini bermakna walau sesibuk mana pun jadual harian anda, anda tidak seharusnya lupa untuk bersenam. Tidak bersenam bukan sahaja akan membuat kesihatan tubuh anda terganggu, malah ia mengurangkan seri pada kulit anda, sekali gus nampak tidak bermaya. Jadi, luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk bersenam. Antara senaman senaman ringkas yang boleh anda amalkan ialah :

Menaiki Tangga
Hampir setiap pejabat mempunyai tangga. Jadi, apa kata jika anda menggunakan tangga berkenaan ketika bergerak ke mana-mana kerana ini secara tidak langsung membantu anda menegangkan otot paha dan betis. Bagaimanapun, pastikan anda tidak memakai kasut yang bertumit tinggi kerana ia akan mendedahkan anda kepada risiko kecederaan ataupun tergelincir. Jesteru, pastikan kasut yang anda pakai sesuai dan selesa dipakai selain menyakitkan kaki. Selamat mencuba!

‘Skipping’
“Skipping’ juga adalah antara senaman ringkas dan mudah yang boleh anda lakukan pada bila-bila masa sahaja. Anda hanya memerlukan seutas tali ‘skipping’ dan ruang yang mencukupi. Walaupun agak mudah tetapi manfaat yang bakal anda perolehi daripada ‘skipping’ hampir sama dengan jongging. Ia membantu menguatkan otot-otot lengan, perut, paha dan juga boleh mengurangkan lemak dalam badan anda.

Peregangan
Peregangan adalah antara perkara yang perlu anda berikan keutamaan sebelum melakukan sebarang senaman atau kerja-kerja lain. Peregangan penting untuk melegakan otot-otot anda dan bersedia untuk peringkat seterusnya. Peregangan juga dapat mengelakkan daripada berlaku kecederaan dan dapat memperbaiki ‘postur’ tubuh. Jadi, luangkan antara lima hingga sepuluh minit untuk melakukan peregangan.

Kajian menunjukkan kurang senaman menambahkan risiko serangan jantung. Senaman dapat menguatkan otot, menggalakkan aliran darah, mengelak kegemukan dan memberi keceriaan dalam kehidupan. Senaman juga mengurangkan serangan jantung, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat sakit jantung.

Jangan mulakan dengan senaman yang berat jika anda tidak pernah berbuat demikian. Ini mungkin dengan sendirinya menyebabkan serangan jantung. Apabila mengambil bahagian dalam sebarang program senaman jangan tergesa-gesa untuk meningkatkan aktiviti fizikal anda. Amalan yang baik patut dicontohi, misalnya janganlah menaiki kereta jika anda boleh berjalan kaki untuk ke sesuatu tempat. Ambillah bahagian di dalam sebarang aktiviti sukan yang anda gemari.

Manfaat berjalan kaki
Jalan kaki adalah latihan yang baik untuk memulakan senaman yang dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan. Untuk memaksimumkan latihan anda, cubalah berjalan kaki, sekurang-kurangnya satu jam di pagi hari. Untuk hasil yang lebih baik, awasi degup jantung anda pada 70% dari degup jantung maksimum anda (degup jantung maksimum sama dengan 90 degupan). Jalan kaki juga akan menguatkan semua otot di kaki dan dari satu jam berjalan cepat akan membakar sekitar 300 kalori.

Untuk senaman yang efektif
Senaman meningkatkan daya tahan tubuh sehingga 80%. Tetapi jika anda tidak sihat, anda tidak digalakkan melakukan senaman. Untuk senaman yang efektif, jadualkan kekerapan bersenam antara 3 hingga 5 kali seminggu. Anggarkan masa untuk bersenam, minimum antara 10 hingga 20 minit setiap sesi. Tetapi sebelum bersenam, pastikan mulakannya dengan teknik memanaskan badan (warm up). Ketika bersenam, berikan tumpuan kepada aktiviti yang melibatkan seluruh tubuh badan seperti berlari, berjalan kaki, berbasikal, senaman aerobik, memanjat anak tangga dan berenang. Selepas tamat senaman, akhir aktiviti anda dengan menyejukkan badan (cool down)

Apa yang perlu ada dalam sesebuah program senaman?

* Sentiasa memulakan program senaman dengan melakukan latihan pemanasan selama 5 hingga 10 minit.
* Lakukan regangan untuk memperbaiki keadaan tubuh anda agar lebih fleksibel.
* Lakukan sedikit latihan aerobik bagi memperbaiki fungsi kardiovaskular.
* Pilihlah senaman yang mampu menggerakkan otot dan tulang anda.
* Diakhiri dengan senaman ringan selama 5 hingga 10 minit sambil menyedut nafas dalam-dalam.

Tiada ulasan: